Wednesday, December 22, 2010

Hapuskan Gejala Sosial Mahasiswa


Assalamualaikum dan salam perjuangan mahasiswa.

Mahasiswa merupakan golongan yang dianggap sebagai golongan bijak dan berketerampilan serta merupakan generasi harapan yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan.

Dewasa kini, kita dihidangkan dengan pelbagai pengaruh dan budaya yang mengundang generasi anak muda hari ini kearah suatu ikutan yang tidak baik. Pengambilan alkohol, dadah, pil-pil terlarang, seks bebas, pembuangan bayi, pemakaian yang mencolok mata serta fesyen yang merosakkan akhlak menjadi tabiat yang meletakkan masa depan yang sukar diramalkan. Tidak terkecuali, kita dikejutkan bagaimana mahasiswa atau golongan intelek juga menerima kesan pengaruh yang sama sebagaimana golongan remaja diluar sana. Bahkan di dada-dada akhbar saban hari memaparkan tidak kurang jenayah serta penglibatan kelompok golongan ini terhadap penyakit sosial yang mula membarah di dalam masyarakat.

Perkara ini wajar diberikan perhatian oleh pelbagai pihak seterusnya membina alternatif bagi mengembalikan generasi masa depan yang mampu memimpin agama dan bangsa Malaysia. Kita sedar perkara ini bukan sahaja perlu dibanteras malah setiap individu perlu turun padang mengajak mereka kearah penglibatan aktiviti bermasyarakat yang boleh membina sahsiah yang baik. Bahkan itulah suatu cabaran pendekatan yang perlu diperhalusi. Bukan mudah menarik minat mereka kearah ini kerana budaya hedonisme dan perkara melalaikan, lebih cenderung untuk mereka dekati berbanding menghidupkan peranan kelab dan Persatuan.

Pemilihan sahabat serta rakan yang baik dapat mengelakkan dari terjerumus ke gejala sosial dan budaya menasihati rakan-rakan sangatlah dituntut agar kita sama-sama berada pada landasan yang sepatutnya.

Oleh yang sedemikian, seluruh pemimpin persatuan dan kelab di Universiti Sains Malaysia diharapkan dapat mengubah serta mencari pendekatan terbaik untuk mencipta program yang bukan sekadar bersifat mega, tetapi apa yang penting bagaimana pengisian program tersebut mampu membina insan yang bakal mencorak agenda Negara kelak.

Tulisan: Mohamad Iswandi Ishak (Bendahari PTIUSM)

No comments:

Post a Comment