Wednesday, August 11, 2010

3 Buku Kupas Keistimewaan Ramadhan

Memasuki bulan Ramadhan, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa serta perlu menjaga adab supaya rahmat serta kemuliaan Ramadan terus terpelihara dan nikmat ganjaran yang dikejar berjaya dicapai seiring peningkatan takwa kepada Allah.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa adab puasa tidak penting, tetapi jika dipatuhi, amalan itu akan membimbing golongan yang berpuasa menikmati bukan sahaja pahala ibadat itu, juga kesihatan diri dan ketenangan jiwa. Adab berbuka mendidik untuk bersederhana dalam aspek pemakanan, adab bersahur menguatkan rohani untuk mencari keberkatan sementara amalan menghidupkan Ramadan dengan menggerakkan fizikal dan jiwa dengan melaksanakan lebih banyak amalan sunat di bulan itu.

Buku Adab Ramadan hasil tulisan Absyar Fuad dan Suzana Ismail, memberi bimbingan kepada umat Islam adab perlu dipelihara sepanjang Ramadan ini. Buku terbitan PTS Islamika Sdn Bhd itu dipersembahkan dalam bentuk ringkas sebagai panduan mudah menyempurnakan puasa.

Satu lagi buku PTS Islamika ialah Peristiwa Bersejarah, tulisan Zamri Zainal Abidin dan Imran Azmi, bercerita mengenai sejarah besar membabitkan orang Islam yang berlaku semasa Ramadan sebagai pengajaran kepada generasi hari ini. Ternyata lapar dan dahaga tidak sesekali melemahkan atau menggugat iman umat Islam zaman Rasulullah dan sahabat untuk berjuang di medan perang. Sewajarnya, semangat itu diwarisi umat Islam hari ini terutama di negara yang aman damai. Kesejahteraan dan negara yang aman kurniaan Allah sepatutnya menjadi penguat semangat untuk memenuhi tuntutan agama. Buku Peristiwa Bersejarah Ramadan boleh menjadi teman di pejabat mengisi masa rehat.

Bagi yang ingin terus memahami kelebihan Ramadan, buku tulisan Dr Engku Ahmad Zaki, berjudul Ramadan Bulan Kegembiraan boleh menjadi penyegar minda kerana mengetahui kelebihan puasa memang boleh mendatangkan kegembiraan. Walaupun setiap tahun umat Islam berpuasa, proses meningkatkan ilmu serta kefahaman mengenai ibadat itu perlu istiqamah kerana sikap manusia yang mudah terlupa memerlukan sentiasa saling ingat mengingatkan. Keistimewaan Ramadan yang dibincangkan dalam buku terbitan Mustread Sdn Bhd ini jika dihayati dan diamalkan mampu menjadikan puasa sebagai amalan menggembirakan bukan memberatkan kerana tidak dapat makan serta minum pada siang hari.

Sekaian.

Tulisan: azira anna althafunnisa' (NYDP PTIUSM)

Monday, August 9, 2010

Ketibaan Ramadhan 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan seperjuangan sekalian. Semoga kehidupan yang dilalui ini sentiasa berada dalam peliharaan Allah.

Hidup terus berputar dan akhirnya kita bakal dipertemukan kembali dengan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Bergembirakah kita dengan kehadirannya?

Saat Rejab dan Sya’aban berlabuh, aku diberi ingatan oleh Allah iaitu ajal berkali-kali datang bertamu menjemput insan-insan di sekelilingku, saat itu hatiku berbisik, ‘masih adakah Ramadhan buatku?’ Lalu kuingatkan diri sendiri agar jangan lupa bahawa usia yang bertambah mendekatkan diri pada ajal yang pasti bertamu. Semoga kita tergolong bersama hamba-hambaNya yang sempat bertaubat sebelum tiba detik waktu ke liang lahad.

Salam Ramadhan dariku dan bersama kita berdoa dengan penuh pengharapan agar Ramadhan kali ini menjadi medan tarbiyyah terbaik buat mendidik diri dan hati agar dapat meneruskan tarbiyyah diri selepas Ramadhan nanti. Mohon ampun dan maaf dari diri ini yang serba-serbi khilaf.

Allahumma Ballighna Ramadhan.
Ya Allah, sampaikanlah kepada kami bulan Ramadhan yang mulia.

Tulisan: azira anna althafunnisa' (NYDP PTIUSM)

Saturday, August 7, 2010

Aku Belajar Dan Puasa



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebahagian besar daripada pelajar dan mahasiswa semakin menghampiri peperiksaan utama menjelang Ramadhan tahun ini. Masa yang di peruntukkan untuk mengulang kaji pelajaran tentunya lebih panjang. Seperti orang bekerja, belajar juga merupakan proses bekerja yang amat penting. Jadi, semua pelajar seharusnya mengambil kesempatan di saat ini dengan menggembeleng tenaga untuk menggunakan sepenuhnya kedatangan bulan Ramadhan ini untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran dengan sebaiknya.

Diingatkan, jangan sesekali mengambil kesempatan untuk memberi alasan mengerjakan ibadah puasa adalah punca anda tertinggal dalam pelajaran.

Tulisan: azira anna althafunnisa' (NYDP PTIUSM)

Sunday, August 1, 2010

Hari Interaksi PTIUSM



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

31 Julai 2010, Program pertama Persatuan Teknologi Industri telah dijalankan di Taman Negara Pulau Pinang iaitu Hari Interaksi PTIUSM untuk mengeratkan ukhuwah serta menjalinkan kemesraan antara mahasiswa Tahun 1 dengan mahasiswa Tahun 2 Pusat Pengajian Teknologi Industri.

Tepat jam 8.30 pagi, tayar 4 buah bus bergolek dari padang kawad USM menghala ke arah "Taman Negara Pulau Pinang". Rancangan ini adalah cetusan idea YDP PTIUSM sendiri dan mendapat sokongan dari semua barisan pimpinan. Ong Jia Sin dan Norazira Bt Ibrahim telah diamanahkan sebagai Pengarah dan Penolong Pengarah Projek ini. Alhamdulillah syukur kehadrat pencipta, setelah lamanya perancangan ini dirancang,akhirnya telah berjaya dengan selamat.

Lensa semasa bermulanya Hari Interaksi...


Semasa berkumpul di Padang Kawad USM

Sebelum memulakan tracking, relex dulu dan ambil tenaga


Tracking walaupun keletihan, senyuman kegembiraan masih terukir di raut wajah

Perbincangan kumpulan untuk BOM kumpulan mana

Memikirkan idea yang terbaru

Semangat dan komitmen adik-adik Tahun 1 amat memuaskah pihak AJK yang terlibat. Dengan kerjasama semua pihak, program Hari Interaksi Persatuan Teknologi Industri telah berjaya dijalankan dengan jayanya. Alhamdulillah, perlantikan wakil kelas untuk setiap division telah selamat dijalankan dengan lancar.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada AJK dan peserta yang terlibat dalam menjayakan Hari Interaksi walaupun penat dengan tugasan yang diberikan kepada anda semua.

Tulisan: azira anna althafunnisa' (NYDP PTIUSM)