Thursday, January 6, 2011

Benarkah Mahasiswa Kurang Membaca ?


Salam sayang buat mahasiswa USM.

Budaya membaca yang kuat adalah teras utama dan prasyarat untuk menjadi sebuah negara maju. Jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa adalah bergantung kepada tahap pemikiran dan minda rakyatnya.

Hakikat ini tidak dapat dinafikan dan buktinya budaya membaca menjadi aspirasi negara dan masyarakat yang bertamadun. Oleh yang demikian, amat tidak masuk akal dan memalukan apabila sebuah laporan mendakwa pelajar universiti di institusi pengajian tinggi yang mewakili masyarakat berilmu di negara ini hanya sempat membaca 12 buah buku sahaja sepanjang mereka berada di menara gading.

Melihat kepada kajian tersebut, adalah dibimbangi apakah bentuk, rupa dan sifat generasi berilmu yang bakal dilahirkan oleh negara pada masa hadapan jika mentaliti, tahap dan status minat membaca yang terlalu rendah ini.

Oleh itu, tabiat membaca yang masih rendah ini perlu diberikan perhatian yang lebihserius oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan indeks tabiat membaca dapat dipertingkatkan segera. Dilaporkan amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar universiti di luar negara iaitu secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian atau empat buku setahun.

Keadaan ini berkemungkinan besar kerana sikap negatif mahasiswa itu sendiri yang terlalu bergantung dengan nota yang diberikan oleh para pensyarah dan tutor ataupun mengharapkan ihsan nota ringkasan pelajar senior.

Ada juga yang mengambil jalan mudah dengan membuat salinan fotokopi nota rakan sekuliah dan menjadikannya kitab rujukan utama. Situasi ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa tidak perlu membaca buku tambahan dan membuat rujukan atau kajian lain kerana mereka boleh lulus dengan hanya berkiblatkan nota yang diberikan oleh pensyarah dan tutor sahaja.

Walaupun para pensyarah amat menggalakkan para pelajar membuat rujukan dengan buku tambahan dan bahan rujukan lain, namun berapa ramai yang berbuat sedemikian. Ini boleh dilihat kepada jumlah pelajar yang berkunjung ke perpustakaan universiti setiap hari dan meminjam buku untuk rujukan tambahan.

Ada juga pelajar yang tidak pernah pergi ke perpustakaan sepanjang berada di universiti, dan peliknya lulus dengan baik pula. Ada juga yang pergi ke perpustakaan sekadar untuk membaca majalah, akhbar harian dan bahan bacaan ringan lain atau sekadar melayari Internet sahaja.

Fenomena tidak mesra buku ini sudah tentu amat membimbangkan semua pihak memandangkan golongan cerdik pandai yang menghuni taman dan gedung ilmu ini adalah contoh serta teladan di menara gading dan kelompok ini juga sepanjang hidup mereka senantiasa bergelumang dalam kancah intelektual.

Sekiranya golongan intelektual ini kurang membaca, implikasinya sangat besar dan boleh menyebabkan prestasi dan kualiti sesebuah universiti berada di tahap yang kritikal.

Keadaan ini berlaku berkemungkinan besar kerana kemudahan dan kecanggihan teknologi siber masa kini memudahkan para pelajar dan pensyarah membuat rujukan Internet di portal pendidikan, blog, hab komunikasi, jurnal elektronik (e-jurnal) dan rujukan elektronik lain tanpa bergantung kepada kaedah rujukan tradisional seperti buku, makalah, jurnal dan sebagainya sepertimana yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar dan pensyarah.

Di samping itu juga, faktor ekonomi dan harga buku rujukan akademik yang terlalu mahal sehingga mencecah ratusan ringgit menjadikan pelajar dan pensyarah berfikir dua kali untuk membelinya.

Realiti dan inovasi ini menjadikan pelajar serta pensyarah universiti tidak lagi bergantung kepada buku dan bahan bercetak lagi. Melalui talian Internet juga para pelajar dan pensyarah boleh melayari laman-laman web akademik berwibawa yang banyak disediakan oleh universiti ternama dunia untuk kemudahan dan tujuan akses rujukan ilmiah, kajian, pencerapan dan sebagainya.

Namun begitu, cadangan agar kerajaan menyediakan satu dana khas bagi membangunkan dan merancakkan lagi industri buku di negara ini perlu diberikan perhatian lanjutan. Setakat ini tiada pinjaman yang dikhususkan untuk mereka yang mahu terlibat dalam industri ini.

Pihak bank seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan industri ini. Adalah diharapkan kerajaan dapat menyediakan dana itu yang kemudian disalurkan ke bank-bank untuk diberikan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam industri tersebut.

Peranan NGO, syarikat berkaitan kerajaan dan golongan jutawan juga diperlukan bagi memastikan kesinambungan industri buku negara yang secara tidak langsung dapat memastikan minat dan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia setanding dengan negara luar.

Sokongan pihak-pihak ini juga boleh mengimbangi harga pasaran buku yang terlalu tinggi terutamanya buku akademik yang membantut keinginan para pembaca membelinya. Subsidi atau pakej khas pembelian buku akademik juga perlu diwujudkan agar semua pihak mendapat manfaat dari industri ini.

Di samping itu juga, persatuan-persatuan pelajar juga perlu menggembleng tenaga dan strategi dalam usaha meningkatkan kempen membaca di kalangan mahasiswa.

Mereka perlu mencari jalan penyelesaian, kaedah dan alternatif terbaik memupuk semangat kuat membaca di dalam dan luar kampus agar indeks minat membaca dapat dipertingkatkan serta yang paling penting ialah agar status mereka sebagai golongan bijaksana tidak akan dipertikaikan oleh masyarakat apabila tamat pengajian nanti. Sebagai peneraju institusi intelektual dan ejen perubahan juga, mereka perlu bangkit dan menjadikan budaya membaca sebagai darah daging dan seumpama nyawa mereka sendiri.