Friday, December 31, 2010

Happy New Year 2011


Selamat Tahun Baru 2011 kepada seluruh mahasiswa/i USM terutama mahasiswa/i Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Semoga tahun ini membawa satu perubahan yang positif untuk terus berjaya dalam hidup dan pelajaran.

Wednesday, December 29, 2010

Tahniah Skuad Bola Sepak Malaysia


Persatuan Teknologi Industri USM (PTIUSM) mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Kebangsaan yang telah berjaya menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF-Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia semalam.

Ucapan tahniah juga turut dirakamkan kepada pengurusan FAM yang disifatkan telah berjaya memperbaiki kelemahan.

PTIUSM berharap kemenangan itu tidak akan melekakan pemain, jurulatih dan pegawai skuad kebangsaan kerana persaingan tentu akan menjadi lebih sengit pada masa akan datang. PTIUSM tetap bersama menyokong bola sepak negara, juga dalam membina nagara maju dan selamat.

Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali berpeluang melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada 1996.

Sekali lagi, PTIUSM mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Malaysia dan pengurusan FAM. Selamat maju jaya.

Sunday, December 26, 2010

Harapan Baru Mahasiswa Teknologi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bila bermulanya semester baru maka bermulalah satu lembaran baru untuk semua mahasiswa meneruskan perjuangan untuk mendapatkan segulung ijazah. Memasuki semester baru ini juga segala azam dan harapan juga kita perbaharui semoga kita akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bagi Persatuan Teknologi Industri USM, penganjuran program-program untuk mahasiswa akan terus berjalan sehingga tamat sidang 2010/2011 ini. Namun begitu, diharapkan penglibatan yang lebih ramai dari pihak mahasiswa agar program yang dianjurkan lebih meriah dan ceria. Antara program yang dirancang untuk semester 2 ini ialah sambutan Tahun Baru Cina, lawatan industri, program sukan dan lain-lain. Semoga program yang dirancang ini mampu dilaksanakan dengan jayanya serta mempunyai impak yang positif kepada mahasiswa.

Tidak ketinggalan juga, arena politik kampus akan mula rancak apabila bermulanya semester 2. Pilihanraya kampus akan diadakan bagi mencari bakal pengganti ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2009/2010. Dahulunya, Pusat Pengajian Teknologi Industri USM diwakili oleh Kelvin Ying sebagai ahli MPP. Pada tahun ini, kita sama-sama nantikan bakal pengganti MPP Pusat Pengajian Teknologi Industri yang akan terus menjadi suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran universiti.

Akhir kata, selamat maju jaya dan selamat meneruskan kehidupan sebagai seorang mahasiswa kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi USM terutamanya mahasiswa-mahasiswi Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Tulisan: Mohamad Iswandi Ishak (Bendahari PTIUSM)

Wednesday, December 22, 2010

Hapuskan Gejala Sosial Mahasiswa


Assalamualaikum dan salam perjuangan mahasiswa.

Mahasiswa merupakan golongan yang dianggap sebagai golongan bijak dan berketerampilan serta merupakan generasi harapan yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan.

Dewasa kini, kita dihidangkan dengan pelbagai pengaruh dan budaya yang mengundang generasi anak muda hari ini kearah suatu ikutan yang tidak baik. Pengambilan alkohol, dadah, pil-pil terlarang, seks bebas, pembuangan bayi, pemakaian yang mencolok mata serta fesyen yang merosakkan akhlak menjadi tabiat yang meletakkan masa depan yang sukar diramalkan. Tidak terkecuali, kita dikejutkan bagaimana mahasiswa atau golongan intelek juga menerima kesan pengaruh yang sama sebagaimana golongan remaja diluar sana. Bahkan di dada-dada akhbar saban hari memaparkan tidak kurang jenayah serta penglibatan kelompok golongan ini terhadap penyakit sosial yang mula membarah di dalam masyarakat.

Perkara ini wajar diberikan perhatian oleh pelbagai pihak seterusnya membina alternatif bagi mengembalikan generasi masa depan yang mampu memimpin agama dan bangsa Malaysia. Kita sedar perkara ini bukan sahaja perlu dibanteras malah setiap individu perlu turun padang mengajak mereka kearah penglibatan aktiviti bermasyarakat yang boleh membina sahsiah yang baik. Bahkan itulah suatu cabaran pendekatan yang perlu diperhalusi. Bukan mudah menarik minat mereka kearah ini kerana budaya hedonisme dan perkara melalaikan, lebih cenderung untuk mereka dekati berbanding menghidupkan peranan kelab dan Persatuan.

Pemilihan sahabat serta rakan yang baik dapat mengelakkan dari terjerumus ke gejala sosial dan budaya menasihati rakan-rakan sangatlah dituntut agar kita sama-sama berada pada landasan yang sepatutnya.

Oleh yang sedemikian, seluruh pemimpin persatuan dan kelab di Universiti Sains Malaysia diharapkan dapat mengubah serta mencari pendekatan terbaik untuk mencipta program yang bukan sekadar bersifat mega, tetapi apa yang penting bagaimana pengisian program tersebut mampu membina insan yang bakal mencorak agenda Negara kelak.

Tulisan: Mohamad Iswandi Ishak (Bendahari PTIUSM)

Monday, December 20, 2010

Mahasiswa London Bantah Kenaikan Yuran


London:
Mahasiswa London turut berdemonstrasi memprotes usul kenaikan harga yuran yang dibawa oleh kerajaan di luar bangunan Parlimen semalam.

Perhimpunan kemudiannya bertukar menjadi ganas apabila pihak kerajaan memenangi usul dengan kemenangan tipis, 323 meyokong dan 302 membantah usul menaikkan had maksimum yuran tahunan di universiti bermula tahun 2012. Yuran asas kini akan meningkat kepada 6000 pound dengan had maksimum 9000 pound berbanding 3290 pound sekarang.

Mahasiswa yang memprotes turut menyerang dan melempar cat kepada Putera Charles dan isteri yang melalui kawasan tersebut menaiki kereta diraja.

Jadi mahasiswa di Malaysia harus bersyukur atas nikmat yang diberikan Tuhan dalam meneruskan proses pembelajaran. Diharapkan pihak kerajaan Malaysia tidak membuat hal yang sama kepada mahasiswa Malaysia.

Sumber: Berita Harian
Tulisan: Mohamad Iswandi Ishak (Bendahari PTIUSM)

Sambutan Aidilfitri PTIUSM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdullillah, Sambutan Aidilfitri PTIUSM telah berjaya dilaksanakan walaupun dalam keadaan sederhana. Program ini telah dijalankan di Dewan Utama Pelajar, USM dengan tema “Sucikan Hati, Raikan Aidilfitri”

Antara aktiviti yang dijalankan pada Sambutan Aidilfitri ini ialah cabutan bertuah dan pakaian tercantik. Namun, perpaduan yang terjalin antara semua mahasiswa Pusat Pengajian Teknologi Industri merupakan kejayaan terbesar dalam program ini.



Foto kenangan:





Teima kasih diucapkan kepada seluruh jawatan kuasa yang telah bersusah payah dalam memastikan kelancaran program ini.

Tulisan: Mohamad Iswandi Ishak (Bendahari PTIUSM)

Sunday, December 19, 2010

Hari Karnival PTIUSM


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari Karnival PTIUSM merupakan program tahunan persatuan yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Industri. Program ini bertujuan bagi mengeratkan persaudaraan antara setiap bahagian di pusat pengajian. Antara objektif lain penganjuran Hari Karnival ini ialah untuk memperkenalkan setiap bahagian dalam pusat pengajian dengan lebih dekat lagi kepada semua warga Universiti Sains Malaysia.

Karnival ini memuatkan aktiviti seperti jualan produk dari setiap bahagian dan pameran di setiap makmal bagi setiap bahagian. Karnival ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Abdul Khalil Shawkataly, Timbalan Dekan PPTIUSM.

Setiap aktiviti yang dilakukan oleh setiap bahagian dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dan dibantu oleh pengerusi rancangan setiap bahagian. Antara jualan yang dikendalikan oleh mahasiswa ialah seperti jualan vitagen, alat tulis, yogurt hasil pelajar Teknologi Bioproses dan pastry hasil pelajar Teknologi Makanan.

Karnival Persatuan Teknologi Industri ini telah berjaya dilaksanan dengan jayanya selama tiga hari. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara rasmi atau tidak rasmi dalam menjayakan karnival ini.

Tulisan: Mohamad Iswandi Ishak (Bendahari PTIUSM)