Wednesday, August 11, 2010

3 Buku Kupas Keistimewaan Ramadhan

Memasuki bulan Ramadhan, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa serta perlu menjaga adab supaya rahmat serta kemuliaan Ramadan terus terpelihara dan nikmat ganjaran yang dikejar berjaya dicapai seiring peningkatan takwa kepada Allah.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa adab puasa tidak penting, tetapi jika dipatuhi, amalan itu akan membimbing golongan yang berpuasa menikmati bukan sahaja pahala ibadat itu, juga kesihatan diri dan ketenangan jiwa. Adab berbuka mendidik untuk bersederhana dalam aspek pemakanan, adab bersahur menguatkan rohani untuk mencari keberkatan sementara amalan menghidupkan Ramadan dengan menggerakkan fizikal dan jiwa dengan melaksanakan lebih banyak amalan sunat di bulan itu.

Buku Adab Ramadan hasil tulisan Absyar Fuad dan Suzana Ismail, memberi bimbingan kepada umat Islam adab perlu dipelihara sepanjang Ramadan ini. Buku terbitan PTS Islamika Sdn Bhd itu dipersembahkan dalam bentuk ringkas sebagai panduan mudah menyempurnakan puasa.

Satu lagi buku PTS Islamika ialah Peristiwa Bersejarah, tulisan Zamri Zainal Abidin dan Imran Azmi, bercerita mengenai sejarah besar membabitkan orang Islam yang berlaku semasa Ramadan sebagai pengajaran kepada generasi hari ini. Ternyata lapar dan dahaga tidak sesekali melemahkan atau menggugat iman umat Islam zaman Rasulullah dan sahabat untuk berjuang di medan perang. Sewajarnya, semangat itu diwarisi umat Islam hari ini terutama di negara yang aman damai. Kesejahteraan dan negara yang aman kurniaan Allah sepatutnya menjadi penguat semangat untuk memenuhi tuntutan agama. Buku Peristiwa Bersejarah Ramadan boleh menjadi teman di pejabat mengisi masa rehat.

Bagi yang ingin terus memahami kelebihan Ramadan, buku tulisan Dr Engku Ahmad Zaki, berjudul Ramadan Bulan Kegembiraan boleh menjadi penyegar minda kerana mengetahui kelebihan puasa memang boleh mendatangkan kegembiraan. Walaupun setiap tahun umat Islam berpuasa, proses meningkatkan ilmu serta kefahaman mengenai ibadat itu perlu istiqamah kerana sikap manusia yang mudah terlupa memerlukan sentiasa saling ingat mengingatkan. Keistimewaan Ramadan yang dibincangkan dalam buku terbitan Mustread Sdn Bhd ini jika dihayati dan diamalkan mampu menjadikan puasa sebagai amalan menggembirakan bukan memberatkan kerana tidak dapat makan serta minum pada siang hari.

Sekaian.

Tulisan: azira anna althafunnisa' (NYDP PTIUSM)

No comments:

Post a Comment